Yakini Anda Seorang Umat RasulluALLAH

Saturday, March 5, 2011

Nilai mahasiswa sekarang...

Nilai keterpasaran(Marketability) mahasiswa IPTA , Malaysia

by Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak.

Pada pendapat saya, dalam membincangkan tentang masa hadapan pengajian tinggi amnya, dan universiti khususnya, apa yang utama adalah soal-soal “asas” dari mana terbit segala-galanya. “Asas” tersebut mesti sesuai dengan masa dan ketikanya, lantas prestasi yang dihasilkan turut mendatangkan manfaat sepenuhnya. Dan berkesan pula dari segi kos yang dibelanjakan. Misalnya, selepas overhaul dilakukan, hasilnya perlu meningkat berlipat-lipat kali ganda ekoran kecekapan telah ditingkatkan. Namun demikian jika tidak sesuai atau sepadan seperti yang dibangkitkan oleh Dato’ Salleh, maka ia akan terus menghantui. Datuk Radin ada membayangkan cara penyelesaiannya dengan memperkenalkan konsep profil graduan, bermaksud jika profil graduan yang dihasilkan sesuai, maka soal sepadan tidak timbul. Ini membuka satu persoalan lain: siapa yang menentukan apa yang sepadan atau tidak? Sudah tentu pihak majikan kerana akhirnya perkiraan kita adalah untuk memenuhi sektor pekerjaan. Ini semacam Indeks Prestasi Utama (KPI) sesebuah universiti. Jika semua keluaran institusi pengajian tinggi (IPT) mendapat pekerjaan yang sepadan dan cepat, maka dianggap “berjayalah” IPT tersebut. Begitu pula jika di sebaliknya. Pendek kata, tidak banyak bezanya di antara sebuah “kilang” yang mengilang barangan buatan yang sepadan dengan pasaran, dengan sebuah universiti yang mengeluarkan (mengilang?) “graduan” – asalkan prinsip “keterpasaran” (marketability) dipatuhi. Seperti barangan perkilangan, selagi ada permintaan, selagi itulah mesti ada pembekalan. Namun kerisauan yang “kita sudah sampai tahap terlalu banyak universiti” menggambarkan pula sumber bekalan sudah terlalu banyak, dan dikhuatiri melebihi permintaan, biar sepadan mana sekalipun! Mujurlah yang dikatakan universiti khusus seperti – Multimedia, Telekom, Petronas – juga menentukan “permintaan” pasaran (sekali gus merupakan majikan utama kepada industri-industri utama negara). Oleh itu cerita kesepadanan tidak timbul bagi mereka. Halnya amat berbeza dengan IPT yang lebih umum di mana mencari kesepadanan agak lebih rumit. Ini memandangkan IPT umum juga menyasarkan industri yang sama. Di sini timbul isu keterpasaran, apa lagi sekiranya pasar telah ditepukan oleh graduan universiti khusus tersebut, yang pada adatnya lebih cenderung ditempatkan di industri yang berkaitan. Selainnya, IPT umum masih memikul amanah menawar dan membangunkan kursus-kursus yang dianggap kurang mendapat pasaran. Misal bidang falsafah, kesusasteraan tempatan, bidang agama, seni, budaya dan warisan. Industri mana agaknya yang memerlukan bidang ilmu ini secara berterusan, kalaupun ada? Wajarkah oleh kerana tidak ada pasaran bidang-bidang ini dicicirkan dengan sengaja seperti menutup kilang yang rugi? Sudah tentu tidak, kerana apa yang dipentingkan oleh universiti adalah nilai ilmu tersebut berbeza dengan industri. Ternyata terdapat percanggahan nilai ilmu di sini. Diandaikan sebuah universiti itu adalah “kilang,” perhitungannya teramat mudah sekali; lantas IPT swasta lebih berkecenderungan tidak menawar kursus yang tidak laku di pasaran, tidak kira setinggi mana sekali nilai ilmunya! Maka tidak hairan, hampir tidak ada IPT swasta yang menawarkan bidang-bidang tersebut. Kalau ada pun umpama seni, kerana ia boleh dipasarkan! Anehnya IPT swasta rata-rata dianggap lebih berjaya dan kos-berkesan berbanding dengan IPT umum kerana mereka pandai memilih-milih kursus untuk diperagakan. Ringkasnya, kekusutan ini timbul kerana kita masih tidak jelas tentang apa yang dikatakan “universiti”? Adakah untuk tujuan pasaran semata-mata, seperti yang sering dipolemikkan? Jika ya, apakah akibatnya nanti jika universiti menjadi Pak Turut kepada telunjuk pasaran dengan anggapan ia juga adalah tuntutan negara? Untuk menjawabnya lihat sahaja apa yang berlaku hari ini di mana Malaysia dikatakan terperangkap dalam tingkat ekonomi sederhana. Antaranya ia disebabkan bahawa universiti atau IPT kita, baik awam mahupun swasta gagal menyediakan graduan untuk tingkat ekonomi yang lebih tinggi gara-gara memenuhi permintaan pasaran yang agak ketinggalan dalam usaha ini. Dengan kata lain pasaran yang ada tidak langsung berupaya/berminat menjangkau masa hadapan, malah terus ketinggalan agak jauh ke belakang. Ambil contoh, bidang bioteknologi. Pasaran untuk graduan berkemahiran dalam bidang ini amat terhad, malah tiada langsung beberapa tahun yang lalu. Jadi apa yang hendak disepadankan jika tiada pasaran, atau terlalu kecil untuk menjadi penentunya. Lantas kita terus tercicir dalam bidang bioteknologi kerana “universiti” kita hanya dikehendaki “mengisi” pekerjaan yang ada dan bukan mengambil risiko membina pekerjaan hari esok.

Mahasiswa perlu global



5 Mac 2011, dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak baru-baru ini dalam satu majlis Perlantikan MPP 10/11. Beliau yang turut mengatakan bahawa mahasiswa sekarang seharusnya lebih global. Hal ini kerana, mahasiswa sseharusnya mempunyai pendirian untuk tidak mengikut cara orang lain sebaliknya memulakan sesuatu yang baru dan boleh diterima pakai oleh seluruh mahasiswa kampus. Tambahan beliau lagi, mahasiswa seharusnya berfikiran lebih kehadapan dan matang. Selain itu, beliau turut berkata lagi di dalam ucapannya yang menyeru semua mahasiswa USM tidak mudah terdoong dengan agenda lain selain mencapai misi dan visi universiti. Hal ini kerana, ungkapan "Transformasi" yang diguna pakai dalam misi USM sangat diterima ramai dan membawa satu nilai perubahan yang lebih menyeluruh kerana sudah ramai yang menggunakan istilah ini sebagai satu bentuk lonjakan paradigma dari benak pemikiran mereka. Disamping itu, beliau juga turut mengatakan bahawa mahasiswa sekarang seharusnya lebih mementingkan pembangunan sosial yang lebih ketara seperti yang tertulis dalam misi USM iaitu " The bottom billiance". hal ini kerana, USM sudah pun menjadi satu universiti yang boleh dijadikan sebuah tempat rujukan kepada semua rangkaian pemimpin. Justeru itu, beliau juga turut menyarankan mahasiswa sekarang seharusnya mempunyai satu sikap yang dikatakan "PRO-Ilmu" dalam diri mereka sebagai asas ilmu yang lebih berbentuk kepada asas pendamaian dalam proses pembangunan kesejahteraan kampus. Kata beliau dihadapan semua ketua-ketua PTJ dan dekan-dekan di USM hari ini, yang beliau turut menerangkan beberapa kosa kata yang sama istilah tapi berbeza maksud seperti "khalwat", "ada" dan "wujud", "tuntut" dan "pelajari". beliau turut mengakhiri ucapan beliau dengan menerangkan kepada semua pimpinan baru MPP 10/11 hari ini bahawa universiti bukan satu tempat untuk bertelagah atau berseronok tapi sebagai gedung ilmu yang boleh melahirkan mahasiswa yang berkualiti dan berinovasi.